19 Nov 2012

Aku mencintaimu kerana Allah.


Ahmad dan Muhammad masih belum pulang dari solat Subuh. Fatimah yang sudah siap menyediakan roti gandum dan susu yang diagih-agihkan semalam, menoleh melihat cahaya mentari pagi yang masih malu-malu untuk mempamerkan dirinya menerusi tingkap yang tiada berkaca. Bau asap ledakan masih kuat menusuk ke hidung. Tapi dia sudah biasa. 

Sekian lama sudah mereka menderita sebegitu. Mata bulatnya menyoroti Sofya, gadis sunti 15 tahun mereka sedang sibuk menyapu. Habuk memenuhi ruang. Seakan tiada guna lagi untuk disapu. Kadang-kadang Sofya berhenti sekejap untuk memasukkan untaian rambut yang terkeluar ke dalam tudung yang sudah lusuh itu.

Salam dari luar disambut. Terpacul wajah Ahmad dengan senyuman manis, sambil menggendong Muhammad yang tertidur di bahunya. Dia membalas senyuman Ahmad, cinta hatinya. Dia sudah berjanji untuk mencintai lelaki itu sepenuh hati sejak kali pertama lelaki itu melafazkan akad ke atasnya.

Muhammad dibaringkan di atas selimut tebal berwarna coklat. Entah, adakah memangnya selimut itu berwarna coklat atapun telah dinodai dengan warna tanah, habuk yang memenuhi segenap ruang mereka sekarang.

"Mereka perlukan tenaga lebih. Israel Laknatullah semakin agresif."

Fatimah diam. Bibirnya digetap kuat. Tiada balasan. Dia meletakkan periuk yang sudah penuh dengan lekukan dan hitam hangus berisi roti gandum di hadapan Ahmad bersebelahan dengan segelas susu.

"Fatimah..."

"Roti itu sedikit hangus. Aku mungkin terlalai seketika ketika memasaknya tadi." Sengaja dia membelakangi suaminya, menyusun pinggan yang lain.

Ahmad memandang kosong roti yang sudah sejuk. Dia menarik nafas panjang lalu dilepaskan perlahan.

"Ini perjuangan kita, Fatimah. Ini perjuangan untuk agama, untuk maruah negara, untuk Palestin." 

Diam.

"Untuk kita."

Matanya dipejam. Suara Ahmad. Perlahan, tetapi penuh semangat. Kecuali ayat terakhir itu. Lirih dan sayu. Hatinya sebak.

"Aku tidak mahu kehilangan kamu, Ahmad." Tersekat-sekat dia melafazkan. "Aku hampir kehilangan kamu. Dan aku tidak mahu itu terjadi lagi."

Mata Ahmad menuruni tangan kanannya yang tiada. Ya. Dia menjadi kudung, kerana tangan itu dihimpit dinding rumah ketika rumah lama mereka menjadi mangsa ledakan bom. Masih dia ingat si isteri tercinta yang sedang mengandungkan anak kedua mereka, menangis tidak bersuara menjaga dirinya dengan sabar, saban waktu. Dia tahu betapa besarnya ketakutan Fatimah untuk kehilangannya. Tetapi apa yang dilakukan itu bukan untuk kepentingan diri semata. Ini kerana jiwanya pada Islam. Pada pertahanan negara mereka. Maruah negara, maruah mereka. Tiada yang akan faham tentang itu sehingga mereka yang lain merasakan apa yang sedang warga Palestin rasakan sekarang.

"Fatimah..." Perlahan dia mengambil tangan sang isteri. Urat-urat timbul, menghiasi jemari lesu yang banyak berjuang. Digenggam erat jemari itu, penuh kasih sayang.

"Apakah kau lupa Allah amat menyayangi kita? Aku yakin, dan pasti. Apa yang kita lakukan ini akan dinilai sebaiknya oleh Dia. Kau seharusnya tidak perlu gentar. Perjuangan ini, perjuangan kita. Aku percaya saudara Islam kita yang lain juga turut mendoakan kita, membantu kita. Mereka tidak akan membiarkan kita sengsara di sini bersendirian."

"Bagaimana kalau kamu ..." Ayatnya mati. Air mata mengalir di pipi.

"Fatimah, jika aku mati. Mati ku adalah mati syahid, Fatimah. Allah sudah janjikan itu. Bukankah kita percaya pada janji Dia? Dia tidak akan memungkiri janji. Aku tidak mahu mati katak di sini. Aku mahu pertahankan maruah kita. Aku tidak mahu disoal di akhirat kelak. Aku lakukan semuanya demi agama, demi negara, demi kamu."

Dagu Fatimah diangkat perlahan. Mata mereka bertemu. Mata wanita yang penuh ketakutan akan kehilangan. Mata sang pejuang yang penuh dengan kekuatan. Lama. Seolah mereka sedang membaca makna pandangan masing-masing.

"Fatimah."

Diam. Mata Ahmad meratah segenap wajah wanita yang paling dicintainya.

"Lahirnya Muhammad itu sebagai Mujahid kita. Lahirnya Sofya itu buat bangkitnya Mujahidah kita. Dan adanya kamu, sebagai kekuatan aku." Ahmad menarik tangan Fatimah ke dadanya. "Di sini."

Air mata semakin deras. Hampir dia tersedu-sedan. Wajah Ahmad semakin samar dek air mata yang bergenang.


"Fatimah, aku mencintaimu kerana Allah."

-------------------------------------------------

"Ummi."

Fatimah menoleh. Sofya sudah berhenti daripada menjahit pakaian Ahmad yang koyak.

"Apakah perasaan dicintai?"

Fatimah diam. Anakku. Mana mungkin kau dapat mengelak perasaan itu kan?

"Ummi sangat bertuah. Punya suami seperti Abi. Abi itu lelaki hebat. Mentaati perintah Allah. Semangatt jihadnya kuat. Dia sangat mencintai Allah." Sofya melepaskan nafas perlahan.

"Aku pernah berangan mempunyai suami seperti Abi."

Sang ibu merapati dara sunti nya. Kepala Sofya diusap lembut. "Sayang, ya betul. Abi mu adalah seorang yang hebat. Dan Ummi pasti kau akan mendapat suami yang hebat juga." 

Senyum.

"Dalam keadaan ini, Ummi. Adakah kami, anak-anak perempuan Palestin ini ada kesempatan untuk semua itu? Berpeluangkah kami?"

Fatimah menahan tangis. "Percayalah cakap Ummi, Sofya. Jika bukan di sini, kau akan bertemu jodohmu di syurga. Dan kalian akan hidup bersama buat selamanya."

Pelukan semakin erat. Terdengar esakan Sofya. 

"Ummi, tidak mengapa jika aku tidak punya suami atau mana-mana lelaki untuk dicintai. Kerana aku sudah mempunyai Ummi, Abi dan Muhammad. Aku sangat mencintai kalian. Kerana Allah." Tersekat-sekat Sofya melafazkan.

Tangisan yang tidak tertahankan. Hati Fatimah diruntun pilu. 

"Sofya, kau akan menjadi ketua bidadari syurga kelak. Teruslah yakin pada janji Allah, sayang."

---------------------------------------------------

Ahmad bersiap-siap sambil diperhatikan Fatimah. Dia sudah tidak mampu menangis. Dia cuma manusia biasa. Tiada yang sanggup membiarkan cinta mereka mengorbankan diri. Tapi ya. Ini perjuangan mereka. Ini tentang maruah mereka. Berkali-kali mereka mengadakan perjumpaan sesama mujahidin Islam, itulah yang disemat di dalam hati dan minda mereka.

"Muhammad," panggil Ahmad. Muhammad berlari anak ke arah Abi nya. Anak kecil 5 tahun itu terus melompat naik ke rangkulan Ahmad.

"Masih ingat tentang Muhammad al Fateh, Salahudan al Ayubi?"

Muhammad mengangguk-angguk.

"Muhammad mahu jadi seperti mereka? Hebat, gagah, dijanjikan syurga? Dicintai Allah?"

Angguk.

"Buktikan pada Abi, dengan menjaga Ummi. Boleh?"

"Abi mahu ke mana?"

Ahmad tersenyum. "Abi mahu pertahankan negara. Abi juga mahu menjadi seperti al Fateh dan pejuang Islam yang lain. Abi juga mahu dicintai Allah dan masuk syurga."

"Muhammad?"

"Muhammad pun boleh. Jaga Ummi pun akan dicintai Allah."

"Bila Abi akan balik?"

Ahmad diam. Air liur yang ditelan terasa seperti pasir. Senyuman sedaya-upaya diukir.

"In Shaa Allah. Abi akan balik juga untuk Muhammad, Ummi dan Sofya."

Muhammad diam. Ahmad memeluk erat anak kecil itu. Air matanya bergenang. Pipi Muhammad dicium berkali-kali.

"Abi sayang Muhammad."

"Muhammd juga sayangkan Abi."

Sofya berjalan perlahan ke arah Ahmad. Kepalanya tunduk menghadap lantai.

"Sofya..."

Sebaik mendengar namanya disebut, dia teresak-esak. Tubuh Ahmad dirangkul dan dipeluk kuat. Ahmad membalas pelukan.

"Ummi mu memberitahu aku tentang betapa kamu tertanya perasaan dicintai. Perasaan dicintai itu sangat indah. Apatah lagi jika yang mencintai kamu itu ialah insan yang kamu cintai juga. Tapi percayalah. Tiada yang lebih hebat berbanding mencintai Dia, dan dicintai Nya. Cinta Nya untuk kita tidak pernah akan padam. Soal jodoh, jika bukan di dunia, Dia telah siap menyediakan jodohmu di syurga. Percayalah."

Sofya tidak mampu berkata-kata. Dia cuma mengangguk-angguk.

Mereka menghantar Ahmad ke muka pintu.

"Abi, semoga Allah melindungi Abi. Aku bangga dengan Abi." Sofya bersuara setelah tangisannya reda.

"Aku juga mahu jadi seperti Abi!" Muhammad pula menambah.

Ahmad tersenyum. "Aku cinta kalian kerana Allah," lafaznya.

Dia menghadap Fatimah. Fatimah cuba menahan air mata dan mengukir senyuman. Hatinya redha. Suami nya berjuang demi maruah mereka. Dia harus berbangga untuk itu.

Perlahan Ahmad mencium kening sebelah kanan Fatimah. Lama. Penuh kasih. Fatimah menahan getar di hati. Sebak, kasih, cinta. Semuanya bersatu.

"Sayangku, aku mencintai kamu kerana Allah,"lafaz Fatimah.

"Aku juga."

"Jika kamu pergi dahulu, tunggu kami di syurga."

Ahmad tersenyum. " In Sha Allah, sayangku."

"Bismillah." Ahmad memulakan langkah.

Tiada lagi tolehan dari Ahmad. Dia terus berjalan meninggalkan keluarga tercinta. Dia sedih, sayu. Tetapi dia yakin. Yang Maha Kuasa telah merencanakan sesuatu untuk mereka. Dia yakin. Ini untuk kamu, Palestin. Ini untuk kita.

Perlahan susuk tubuhnya dihalang dimamah habuk dan asap.

"Aku akan menunggu kalian 'di sana', sayangku semua," Ahmad berbisik sendiri.

"Syurga untukmu, sayang," bisik Fatimah.

Dan langit Palestin masih hitam.

-------------------------------------------------

Dia terdiam. Matanya masih lama menatap skrin komputer. Air mata lelaki akhirnya jatuh juga. Apa usaha aku untuk mereka? Mereka itu dijanjikan syurga. Aku? Dosa ku bertimbun. Doakan mereka pun cukup berat? Apakah perasaan mereka meninggalkan keluarga? Bukan itu yang mereka pinta. Kesengsaraan itu hanya mereka yang rasa. Allah Maha Mengetahui.

Palestin diuji dengan Israel kerana mereka itu kuat. Tabah. Malaysia? Soal politik pun berpecah-belah. Mereka bermatian mempertahan agama, Negara mereka di sana. Di sini rakyat berpecah belah. Kerana fahaman politik sahaja. Untuk berbalah tentang nasib Palestin, nasib Islam di sini bagaiman? Di mana Islam di Malaysia? Siapa yang mahu pertahankan agama di Malaysia? Palestin ada rakyatnya yang cintakan Islam. Malaysia?

Di Palestin, Syria, Afghanistan dan negara Islam lain yang menderita, meskipun sedang solat mereka dibom, disiram air panas, dibakar, diseksa kerana mereka itu Islam mereka masih dengan aqidah mereka. Masih teruskan solat biar apa-pun terjadi. Di sini? Adakah mereka ingat lagi apakah itu "solat" ? Muslimah di sana menjaga aurat meskipun penuh asap, habuk akibat ledakan segalanya, tapi masih menjaga aurat sesempurnya. Di sini?

Geleng kepala.

Artikel itu dicetak keluar. Dia mahu anak-anaknya nanti baca. Juga isterinya. Matanya tertancap pada gambar yang berbingkai di sudut meja. Senyuman sang Isteri di dalam gambar membuatkan dia juga tersenyum saat itu. Dia tidak tahu adakah dia juga kuat seperti Ahmad? Untuk tinggalkan insan tercinta? Atau anak-anak perempuannya tabah seperti Sofya. Tidak kisah tentang kahwin, tentang cinta manusia. Kerana yakin cinta Allah lebih indah. Dia mahu anak lelakinya nanti bangkit dan membesar sebagai Mujahid Islam.

Jam tangan dipandang sekilas. Waktu rehatnya sudah habis. Ada ramai pesakit perlu diperiksa dan dipantau. Setakat ini, usahanya cuma berdoa dan menyumbangkan sedikit sebanyak untuk mereka. Jika ada peluang, satu hari nanti dia mahu ke negara-negara ditindas seperti Iraq, Palestin dan Afghanistan untuk memberi sumbangan perubatan. 

Semoga Allah izinkan.

Dia berdiri, menapak melewati meja yang ada tanda namanya yang dimulai dengan perkataan "Dr.". Langkah terhenti. Dia menoleh. Kotak burger Quarter Pounder yang dikirim Dr. Farouk tadi dipandang lama. Kotak itu dicapai, dan dipegang lama. Tidak perlu ragu. Ini usaha sekecil cuma. Allah yang akan menilai semua.

"Demimu saudara ku. Aku mencintai kamu kerana Allah."

Kotak bertanda M besar itu dibuang ke dalam tong sampah. Dia tersenyum. Langkah diatur semula. Pintu dibuka dan ditutup. Hospital masih sibuk seperti biasa. Dan tugasnya bermula, dengan semangat yang baru.




"Ini perjuangan kita."




No comments:

Pages

About