19 Oct 2012

Tulung Rusuk Qurban


Assalamu'alaikum wbt..

Raya korban dah dekat..pisau dah tajam belum? jom pakat ramai ramai sembelih khoruf! (sejenis kambing berlemak lebih di bahagian belakang pinggulnya) only in Egypt~
cakap senang kan? tapi ramai yang tak berani… bukannya tak pernah belajar, tapi sebab tak yakin kendiri..buatnya sembelih tak putus urat, sape nak ganti lembu sekor yang dah menjadi bangkai? atas ketakutan itu maka saya juga menolak permintaan untuk jadi tukang sembelih..dengan alasan mabuk darah..boleh ke macam tu? mantap kosai!!!

Dulu ade banyak bela arnab..pernah makan daging arnab..cuma tak berapa berani nak sembelih arnab..sebab rasa macam sembelih kucing je..bila dah sembelih, bila yang betinanya mati, maka yang jantan tu dah mengalami kemurungan melampau..nak makan pun tak lalu..kerjanya merenung ke langit je..sampai la satu masa, terlihat beliau dengan mata terbuka memandang langit, tapi dah dihurung semut..rasa nak menangis pun ada..tak sempat nak menikmati daging berharga ratusan genih (padahal murah je arnabun kat sini)

Oleh kerana kita berada dalam suasana ibadah korban, moh la kita cerita sikit pasal korban dan pengorbanan..

Orang yg berkorban ini dipandang sebagai seorang yg mulia..kalau depa berkorban binatang ternakan, maka kemuliaannya bila daging itu dapat dikongsi bersama dengan yang memerlukan..kalau depa berkorban harta dengan men-sedekahkan sebahagian harta untuk yang memerlukan, ia juga satu tindakan dan amalan yang sangat mulia..apatah lagi jika seseorang itu sanggup mengorbankan nyawa demi memberikan keamanan kepada orang lain, ini juga satu kemuliaan..

Bahkan orang yang syahid ini (mengorbankan nyawa untuk agama) apabila matinya, seolah olah mereka itu hidup..iaitu hidup dalam ingatan orang yang masih hidup.. walaupun kita tak pernah sezaman atau bertemu dengan Sumayyah binti Khoyyath, Jaafar bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Muttalib etc, tetapi nama nama mereka ini masih harum subur dalam ingatan umat Islam hingga ke Hari Kiamat..

Namun, di antara depa yang melakukan pengorbanan ini, siapakah yang boleh mendakwa bahawa pengorbanan depa itu lebih diterima oleh Allah? siapakah yang boleh mendakwa pengorbanan depa itu lebih tinggi..atau memperlekehkan pengorbanan orang lain?

Takdak sapa sapa sebenarnya yang boleh mendabik dada yang mereka melakukan pengorbanan yang besar untuk agama..juga takdak sapa sapa yang boleh memperlekehkan pengorbanan orang lain..tak kira la pengorbanan yang kita lakukan itu mirip dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah, ataupun pengorbanan orang lain itu tidak menepati petunjuk sunnah..

Sebab di akhirnya nanti, yang akan menentukan sama ada pengorbanan kita itu diterima, atau ditolak, adalah Allah s.w.t. juga..ada sebuah hadis tentang 3 golongan iaitu syuhada’, alim lagi qari’ (pembaca al-Quran) dan dermawan yang ditolak amalan depa, sebab depa riak..malaikat cuma mencatat semua amalan yang kita lakukan, sama ada ikhlas ke, tak ikhlas ke.. hanya Allah yang akan menentukan sama ada ianya diterima atau ditolak..

Jangan ditipu oleh syaitan dalam perkara ibadah..sebab syaitan akan selalu membisikkan bahawa kitalah yang lebih banyak berkorban, dan pengorbanan kitalah yang akan diterima Allah (sama kaedahnya ketika Qabil dan Habil mempersembahkan korban mereka kepada Allah)..sedangkan hakikatnya, kita sendiri pun tak tahu.. kita cuma mampu melakukan usaha, sedangkan natijahnya, hanya Allah yang akan memberikan keputusannya..
kalau kita memahami hakikat ini, nescaya kita tak akan berbalah dalam menentukan manhaj (metodologi) siapa yang betul..asalkan ia tak melanggar batasan syarak, maka kita akan berlapang dada..dan bukannya berbangga dengan ‘kebetulan’ kita dan mengkondem ‘kesalahan’ orang..takut takut nanti rupanya kita syok sendiri..

Walaupun keretapi yang kita naiki menuju ke arah yang sama dengan penumpang penumpang lain nak tuju, tapi kita kena tahu..bukan semuanya akan sampai ke tempat yang diinginkan..mungkin ada yang berhenti di tengah jalan..dan bukan kita dan penumpang penumpang keretapi itu saja yang boleh sampai ke tempat yang dituju, yang menaiki kereta pun boleh sampai..yang naik helikopter pun boleh sampai..yang naik bas pun boleh sampai..apatah lagi beca dan juga keldai..

matlamat yang satu.. manhajnya beribu.. Maka, saling bantu membantu itu lebih perlu.. Bukan saling cemburu.. ke cane??

Wallahu'alam


Lembu pun eksited!



5 Oct 2012

Kosong.



Blur. Kosong. Tiada arah. Begitu sikap otaknya kebelakangan in. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba dia merasakan dirinya hilang arah tujuan. Sedangkan sebagai orang mukmin dia tidak seharusnya begitu.

'Orang mukmin itu hidupnya adalah untuk sembah Allah,menjadi khalifah di muka bumi ini… ', begitu kata ibu saban hari sewaktu masa remajanya, jika dia berasa malas untuk bersolat jemaah di surau mahupun untuk menyertai aktiviti kebajikan di kawasan kampung.Ustaznya turut mengatakan kepadanya di dalam kelas agama mereka. Berulang kali ustaz menyebut, menjadi rutin yang janggal ditinggalkan.

'Allah berfirman : Wa maa Khalaqtul Jinna Walins Illaa Liya'buduun.. Tidak aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk menyembah aku , surah Az-Zariyat ayat 56...' Begitulah ayat yang ustaz selalu baca sebelum memulakan kelas, ditambah dengan huraian yang pelbagai. Dia mendengar tanpa jemu. Berfikir tanpa rasa.Apabila hijrah termaktub dalam kanvas sejarahnya, dia bertemu dengan sekumpulan pemuda yang sangat soleh. Lebih soleh dari sahabat-sahabatnya di sekolah agama dahulu. Detik kakinya menjejakkan tanah di kepulaun British ini, dia disambut meriah oleh mereka, seolah-olah mereka ibarat rakan lama. Mereka membawanya ke rumah untuk bertamu nasi dan lauk malaysia. Tidak kempunan dia akan gulai asam pedas ibu di kampung. Ibu kata rajin-rajin masak di negara orang. Masih tersemat resepi ibu di dalam poket sewaktu permergian dia ke negera baru. Bukan orang Johor jika nasi tidak bergulaikan asam pedas!

Dari kenalan biasa, mereka menjadi sangat intim sehingga ke mana-mana sahaja mereka pasti bersama.Walau mereka bukan sebaya namun dia berasa sangat selesa bersama mereka. Apatah lagi duduk di negara orang tanpa keluarga yang boleh berkongsi rasa suka dan payah di situ. Pada dia, merekalah abang dan sahabat. Rakan barunya itu sering membawanya ke 'study circle' bersama orang-orang muslim di situ. Bukan sahaja dia dapat kenal dan bertutur dengan masyarakat Muslim British, malah dia dapat tahu betapa terbukanya pemikiran mereka. Cara masyarakat Muslim British berfikir lain dari masyarakat Melayu. Muslim di sini belajar untuk beramal, dan mereka faham akan asas-asas Islam sehingga mampu menghuraikan tentang Islam kepada yang bukan Muslim. Berbeza dengan masyarakat Melayu yang tidak tahu bagaimana untuk berdakwah kepada masyarakat Cina dan India di Malaysia sendiri. Kagum dia melihat teman-teman Muslim tempatan membidas hujah-hujah masyarakat Kristian tentang isu poligami, hijab dan terrorisme dalam bahasa Inggeris yang fasih dan jelas. Dia sendiri berasa malu dengan dirinya sendiri kerana masih tidak mampu memahami Islam sejelas mereka apatah lagi menerangkan kepada manusia lain sehingga mereka tertarik dan menganut Islam.

Dia merasakan ketenangan berada di dalam kelompok mereka. Dia berasa dia lebih beriman dengan apa yang dia tahu dengan Islam apabila bergaul dengan masyarakat yang dambakan Islam di tengah kelompok masyarakat jahiliyyah dan kuffar. Dia sendiri berasa pelik bagaimana mungkin dia boleh jadi sebaik ini tatkala datang ke negera penjajah tanah Melayu ini. Mungkin lagi susah kita mahu dapatkan sesuatu, lagi kita hargainya, begitu dia berfikir. Lagi sukar untuk mendapatkan ilmu Islam, lagi kita menghargai Islam itu sendiri.

‘Tugas kita adalah menjadi hamba Allah dan khalifah Allah’, begitu kata khatib berbangsa German seusai solat Jumaat di surau kecil di universiti.

Khalifah Allah? Apakah itu sebenarnya? Sering benaknya berfikir, namun Shish, rakan Pakistanya menyebut dalam bahasa Inggeris berloghatkan Urdu, ‘Itu adalah tugasan kita untuk mentadbir alam ini,memastikan segala yang hidup di dunia ini berputar pada paksi yang satu iaitu pada Allah Taala semata-mata’.

Dia blur, tetapi mengangguk tanpa faham. Bagaimana sebenarnya untuk melaksanakan perkara itu? Kenapa kita perlu lakukan semua itu? Otaknya masih nakal untuk bertanya, sanubarinya terlonjak-lonjak mahukan jawapan. Namun mulutnya sering berkunci kerana dia tidak mahu memalukan dirinya sendiri.

Dia tahu Allah ciptakan manusia untuk menyembahNya semata-mata, tidak yang lain. Dia arif akan perkara itu, tetapi mengapa tidak dapat dia rasai benda itu? Mengapa ia tidak merasakan apa sahaja yang dibuat adalah merupakan manifestasi ibadahnya kepada Allah? Tidak berimankah dia? Tidak ikhlaskah dia? Apakah makna iman? Apakah makna ikhlas?

Cukup! Cukup! Bentaknya sendiri. Dia perlu hentikan soalan-soalan itu. Dia tidak mahu pening sendiri. Apa yang dia mahu adalah untuk merasakan apa sahaja yang dipelajari. Dia tidak mahu banyak ilmu namun langsung tak rasa apa-apa. Main ikut sahaja apa yang dia tahu. Perasaan itu penting!

Dia masih termangu-mangu di atas meja belajarnya. Haba elektrik yang sudah dipasang penuh tidak mampu melawan kedinginan cuaca di hari itu. Hawa dingin itu masih mampu menyelit ke dalam biliknya melalui celahan pintu dan tingkap. Dia melihat keluar jendela dan memerhatikan rintik-rintik salju turun memutihi seluruh daerah tempat dia bermukim. Indahnya melihat salju namun perit apabila memegangnya. Memegang salji adalah seperti memegang ais yang diambil dari peti ais. Sejuk yang mencengkam.


Apa ada pada salji? Tentu banyak yang Allah mahu manusia belajar dari salji. Dia sangat seronok bertemu dengan salji. Bermain-main dengan kepulan ais. Mengambilnya dan membalingnya ke tanah. Dia selalu melihat di dalam filem orang barat, mereka bermain-main dengan salji, membuat orang salji dan berdamparan di atas salji terutama sewaktu perayaan hari Krismas. Sudah lama dia berkeinginan untuk memegang salji. Bermain dengan salji walaupun dia tahu perasaan itu wujud kerana salji tidak pernah ada di negaranya sendiri.


Hari ini dia tidak berniat untuk keluar bermain salji. Seronoknya cuma sementara. Dia perlu memakai pakaian tebal dan sarung tangan yang kalis air jika mahu bermain. Jika tidak tangannya akan bengkak kesejukan. Lagipun salji turun agak lebat, dia lebih rela duduk di dalam bilik dan belajar untuk persediaan peperiksaan akhir tahunnya.

Salji mengingatkan dia akan dosa dan pahala. Tentang hati manusia. Salji itu putih,bersih dan sempurna, sedangkan hati manusia yang bergolak sering bercampur aduk antara kekotoran dan kebersihan. Jika manusia dapat gambarkan ketulan hati mereka seperti seketul ais, tentu mereka mahu hati mereka seputih ketulan ais itu. Kerana putih itu indah. Jika diambil ketulan ais yang telah bercampur tanah, tentu mereka tidak akan bermain dengan ais tersebut, kerana pada sudut pandangan cetek manusia, ais sebegitu adalah kotor dan tidak sempurna. Namun ramai manusia tidak mampu mengambil perumpamaan dan pelajaran dari sejumlah besar ciptaan Allah.


‘Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia menurunkan ais dari langit, dari gunung-gunung, makan ditimpakannya ais itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan dihindarkanNya dari siapa yang Dia kehendakinya. ( An-Nur: 43)’

Buku ‘pathology’ terkuak luas di hadapannya namun dia masih memikirkan persoalan yang besar di benaknya. Dilihat jam di tangan. Dhuha masih ada. Dia mengambil wudu’ dan membentangkan sejadah. Bersiap sedia untuk menyempurnakan dua rakat sunat buat Rabb. Berikanlah aku hidayah untuk merasai imanMu Ya Allah! Bisiknya dalam hati. Dia ingin bertemu dengan jawapan kepada setiap persoalannya.

Setelah munajat yang panjang pada Allah, dia duduk berteleku dan berfikir. ‘Berfikir itu lebih baik daripada ibadah selama 1000 tahun’, ungkap salah seorang sahabatnya di satu ketika. Dia berasa sangat tenang apabila bercakap dengan Allah. Mencurahkan segala keresahan dalam hatinya. Dia rasa lapang. Dan dia rasa Allah berada bersamanya ketika itu.

Akhirnya dia bertemu jawapan kepada semua persoalan-persoalannya. Dia tahu banyak perkara tentang Islam tetapi dia tidak merasakan kepentingannya. Dia laksanakan apa yang dia tahu namun dia masih berasa belum puas. Seperti seorang ilmuwan kristian yang belajar tentang al-Quran namun tidak pernah beriman kepada Allah.

Akhirnya ilham itu muncul. Ya, dia tahu sekarang bagaimana untuk merasai apa yang dia tahu. Dia tahu bagaimana untuk merasai kemanisan iman itu.

Diambilnya buku ‘Kumar and Clark’ yang berada di sisi katilnya. Dibukanya halaman tengah secara rawak. Dibacanya beberapa perenggan.

Serum calcium levels are mainly controlled by parathyroid hormone (PTH) and vitamin D. Hypercalcaemia is much more common than hypocalcaemia and is frequently detected incidentally with multichannel biochemical analysers.

Dia cuba memahami dengan hati,namun gagal. Dia memahami dengan akal. Walaupun terpaksa membaca berulang kali namun dia faham juga akhirnya. Tutup. Diambilnya novel pemberian kakaknya pula, ‘Life of Pi’. Dia membaca untuk beberapa ketika. Dia terleka. Menghayati setiap bait ayat dengan penuh perasaan. Patutlah ramai orang mengantuk bila membaca buku akademik tetapi mampu berjaga malam untuk menghabiskan novel. Ditutupnya novel tersebut dan diambilnya al-Quran yang berada di sisi.

Dibacanya beberapa ayat dalam surah Az-Zariyat termasuk ayat ke 56 itu. Dia membaca maknanya sekali. Kali ini,buat pertama kalinya, dia membaca dengan hati. Sukar pada mulanya, namun dia terus mencuba. Membayangkan bahawa Allah menurunkan Al-Quran itu pada dia. Merasakan Allah berkomunikasi dengannya.

Dia terus membaca dan menghayati makna dari Al-Quran tersebut sehingga benar-benar meresap ke dalam hatinya. Perlahan-lahan, air matanya turut bergenang, perasaannya turut basah dengan keinsafan. Kenapa tidak dia rasakan sebelum ini? Membaca tanpa memahami,mendengar tanpa menghayati. Sedangkan ini kalam Allah! Jika dia dapat menghayati novel sampai menangis-nangis,mengapa tidak untuk kitab Allah? Dia kaget akan dirinya. Mahu salahkan siapa jika dia sendiri tidak menyedarinya? Begitu benar apa yang dikatakan dalam Al-Quran,


‘ Maka tidakkah mereka mentadabburi( menghayati) Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?’ (Muhammad: 24)

“Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi’ ( Al-A’raf: 7)

Sedihnya hatinya memikirkan keadaan dirinya yang tidak peka dan menyedari kerugian yang dia hadapi kerana tidak membaca Al-Quran dengan hatinya. Al-Quran disamakan ketika membaca buku-buku perubatannya.  Kosong dari makna, jauh dari ruh!

Kini sudah dia mula memahami apa yang sering dialunkan di telinganya, ‘Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.’ Dan dia benar-benar merasakan itu dengan hati. Bukannya dengan beribadah secara rutin pada Allah tetapi turut memenuhi hak-hakNya. Akan dia jadikan seluruh kehidupannya, dari bangun tidur sehinggalah dia tidur kembali, sebagai ibadah kepada Allah, dengan melakukan sesuatu hanya kerana Dia. 

Dia turut faham akan makna khalifah di atas muka bumi ini. Diselaknya halaman al-Quran dan didapatinya ayat yang dikehendaki. Dia membaca dengan kuat. Mahu ayat itu turut bergema dalam hatinya dan meresap ke dalam pembuluh darahnya. Dia mahu hidup berpaksikan ayat ini.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.’( Al-Baqarah:30)

Ya, khalifah! Tugas yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain. Tugasan yang hanya sanggup dipikul manusia, bukan umat yang lain. Tanggungjawab yang meninggikan martabat dan nilai manusia di alam semesta ini. Namun cuma secubit manusia memahami dan melaksanakan amanah ini.


Khalid rakannya dari Syria pernah berkata padanya, mengapa Allah menyuruh kita menjadi khalifah adalah untuk kita menyeru seluruh manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah. Manusia wajib memastikan seluruh makhluk yang melata di atas dunia ini untuk tunduk kepada Allah. Dengan cara itulah manusia dapat menjadi pentadbir alam ini. Dia teringat sebuah kisah yang pernah terjadi kepada Abu Dzar, sorang sahabat Nabi. Beliau hanya menemui Rasulullah selama tiga hari untuk mendalami Islam. Kemudian dia pulang menemui kaumnya dan berhasil mengislamkan mereka keseluruhannya. Tidak perlu tahu terlalu banyak untuk menyampaikan Islam, malah perlu berkongsi apa sahaja yang kita tahu tentang Islam.


Dia menutup Al-Quran yang dibacanya serta memerhati di luar jendela bilik kecilnya. Salji masih mesra dengan alam, turun dengan rintik yang perlahan-lahan. Dia menyedut nafas panjang dengan lega. Alhamdulillah, kini dia sudah faham dan mengerti maksud kehidupanya. 

Fikirannya sudah tidak kosong lagi.




Muharikah -


4 Oct 2012

Perlukah?

I don't like what u`re doing, but I won't insult u.
Why? 
Because who u are tomorrow may be better than who I am today


Kamu
ya, kamu yang membaca ketika ini
faham atau tidak maksudnya?
fahamkan betul-betul

jangan kau ludah masa silam orang
siapa tahu, masa silam mereka boleh jadi masa depan kamu
bumi itu berputar
hidup juga ada putarannya
laut ada pasang surut
iman juga ada turun naiknya

jadi
mengapa perlu dibuka keaiban orang?
akaun Raqib sudah cukupkah?

ketuk semula kepala itu
ingat semula siapa penimbang al-mizan
manusiakah?

semestinya bukan aku, bukan dia, bukan kamu.

Dia...



-BK-

2 Oct 2012

Manis Itu Indah.


~~~ Guling guling guling ~~~

Salam ‘alaik!

Hari tu, aku pegi Zoo. Atau kalau kau tau, Lok Kawi Wildlife Park? Yosh! Ada di Lok Kawi Sabah. Di mana? Klik sini kay. Lawatan ke sana sebenarnya bukanlah yang dirancang. Entah tiba-tiba hormon berubah entah keluar pulak personaliti ‘baby’ yang sekian lama tersembunyi dalam diri ni. Cewah!

Seawal pagi lagi sebenarnya ke sana. Tempat tu buka jam 9.30 pagi. Jadi kami kononnya mahu sampai di sana dalam jam 10 la. Sebab konon jam 11 nanti ada show. Masalahnya, hujan lebat yang amat. Sampai si tukang driver yang Hot ni pun terpaksa bawak kereta slow sebab, yalah. Bawak anak orang. Pulak tu anak orang ni yang bujang-bujangan sekalian. Ahem.

Sampai di sana pun, hujan punyalah lebat!  Terpaksa lah berlari-lari, penuh memori macam video muzik Hindustan. Ceh. Over lah pulak. Lepas beli tiket, masing-masing berfikir. Macham mana mahu pusing-pusing tengok haiwan segala kalau hujan macham ni? Tiket di tangan ditenung lama. Rasa menyesal pun ada. Ah, jauh-jauh datang. Sudah beli tiket 10 ringgit satu kepala. Jadah mahu berhenti sekarang? Kononnya mahu beli payung. Sekali tengok, payung 25 ringgit sekaki. What the??? T.T Ini tidak adil! Eksploitasi hujan! Memang tidak boleh dimaafkan! -emo-

Penuh kasih sayang kami berkongsi-kongsi  payung. Terasa kasih sayang tu mengalir di bawah payung yang walaupun tidak seberapa membantu dalam mengelak daripada terkena titisan hujan tapi cukuplah mampu lindungi kepala daripada terkena air hujan. Yalah, Final exam ada 3 hari lagi untuk menjelang. Kemain kau. 3 hari exam orang ikat kain merah di kepala memerah otak struggle di akhir waktu kau bersenda gurau dengan binatang di zoo. Syabas Beteh!

Tengah meredah hujan dengan payung, tiba-tiba mata ni terhenti pada satu susuk tubuh yang kecil dan comel, memakai uniform berwarna merah, bertopi, berkasut dan sedang gagah meredah hujan tanpa raincoat mahupun payung. Muka taiko gila, tapi ada segaris senyuman di bibir molek tu. Hati tersentuh. Allah! Comelnya budak-budak tadika ni!!! Jalan tanpa ada rasa takut dengan hujan padahal dorang lah patut dijaga. Takut antibodi tidak kuat. Tapi, dorang masih berani dan kuat untuk terus melangkah. Allah Allah! Hebatnya semangat macham ni! –senyum-

Lawatan hari tu, memang ohsem. Binatang dia, walaupun tiada yang luar biasa contoh seperti (oh yes. Akibat subjek BM ditinggalkan selama hampir 3 tahun, bahasa jadi gila) Panda mungkin? Kalau ada panda, sumpah hampir setiap bulan aku datang lepas tu buat-buat ada panda-angkat di sana. Oh! Binatang reptilia, burung-burung, mamalia, dan paling menarik hati, Proboscis Monkey – Bayau. Hidungnya panjang, bulunya keperang-perangan.  Teruja! Sayangnya Orang Utan tiada. Tempat dorang ada penambah-baikan. Sepanjang lawatan, ketawa tiada henti. Hati seketika jadi gembira. Eksaited. Hepi hepi ambuk - ayat anak murid ummi. hehe.

Aku tekad. Balik rumah, mahu cerita dengan adik-adik nanti dan ajak abah bawa ke sana lagi. Mungkin ada yang kata tidak berbaloi. Bukan cantik sangat tempatnya, ndak banyak binatang pun. Tapi, kau katakan pada aku. Di mana kau boleh lihat makhluk Tuhan begini lagi? Belakang rumah kau? Dan iya. Perkongsian itu amat penting. Untuk aku khabarkan pada kau, betapa hati tenang dan seronok lihat mereka yang sama-sama berzikir pada Yang Maha Khaliq. Kau? Kau pernah rasa yang sama?

Kerana itulah blog ini wujud. Kerana itulah aku wujud di sini. Kerana itulah aku tekad untuk gunakan ‘bibir di hujung pena’ aku untuk bercerita. Berkongsi benda yang seronok tu, memang manis! Oh ya, kalau berkongsi coklat pun, manis juga! Kalau makanan lain pula, yummy! Sedap. Hihi.

Manis tu, indah kan?


Notakaki : aku teringat anak gajah yang makan sambil menari yang aku rakam aksinya. Chomel. Perasaan dapat makan dengan gembira, memang indah. Tapi saudara kita di sana, apakah nasib mereka?

Pages

About